sambalserai

Saluran Informasi Anda

Responsive Ads Here

Saturday, 30 January 2016

Cara Buat Umai Mukah Original, Ala Sushi Jepun

Di sini saya ingin berkongsi cara membuat umai campur dan umai jeb/cicah ala Mukah. Pertama sekali saya ingin mengajar cara menyediakan umai campur ikan pirang. Umai merupakan sejenis makanan popular masyarakat melanau di Sarawak. Umai ini diperbuat daripada hirisan nipis ikan pirang yang digaul bersama dengan hirisan bawang merah atau bawang oren, cili dan perahan jus limau (samada limau nipis atau limau kasturi). Bagi sebilangan kecil masyarakat melanau, ada yang menambahkan juga dengan hirisan halia muda.
cara buat umai
Saya akan menerangkan secara ringkas langkah-langkah atau cara-cara membuat umai ikan pirang. Sebelum itu pastikan ikan yang kita gunakan adalah ikan yang masih segar. 

1. Siang, buang sisik dan bersihkan ikan pirang. Buang kepala, ekor, perut dan sirip.

2. Pisahkan isi ikan daripada tulang tengah atau tulang utama ikan. Isi ikan pirang masih bertulang tetapi hanya tinggal tulang halus yang lembut yang mampu dikunyah.

3. Hiris nipis melintang isi ikan (bertujuan untuk memotong tulang halus ikan supaya apabila kita makan, tidak terasa tulang tersebut) dan letakkan ke dalam bekas khas untuk menyediakan umai.

4. Hiriskan bawang dan cili merah. Kalau nak pedas, guna cili padi.

5. Potong limau nipis atau lima kasturi supaya senang untuk memerah jus.

6. Masukkan hirisan bawang dan cili merah tersebut ke atas hirisan ikan dan kemudian perah potongan limau ke atas campuran tadi. Letakkan garam dan serbuk perasa secukup rasa atau ikut kemahuan. Kalau nak keunikan rasa, campurkan sesudu makan sos ikan dan hirisan kulit limau nipis.

7. Gaul kesemua campuran tersebut supaya bahan-bahan bercampur rata.

8. Walaupun hidangan umai ibarat makan isi ikan mentah, sebenarnya jus limau yang dicampurkan dengan ikan tadi dapat menjadikan isi ikan tersebut masak dan boleh dimakan dengan selamat. 

9. Hidangkan. Umai sangat enak dimakan dengan bebola sagu atau nasi.

Umai Jeb / Cicah
umai mukah original sushi borneo
Umai jeb atau cicah adalah sejenis makanan popular masyarakat kaum Melanau. Seperti umai campur, ia diperbuat daripada hirisan ikan mentah segar. Berbeza dengan umai campur, umai jeb dihidangkan dengan sambal cicah atau sambal celup yang tidak digaul bersama dengan isi ikan.

Sebaliknya, hirisan isi ikan dan sambal cicah diletakkan dalam bekas yang berasingan. Para penggemar umai jeb menyukai umai jenis ini kerana mereka menggemari rasa ikan mentah yang segar berbanding dengan umai campur yang lebih kepada rasa masam limau.

Untuk membuat umai jeb, ikan yang digunakan haruslah betul-betul segar. Kata orang fresh dari laut, bukan yang dikeluarkan dari peti sejuk. Rasa ikan yang segar adalah sangat enak dan ada yang mengatakan wujud rasa kemanisan isi ikan yang tersendiri.

Di sini saya nak berkongsi sedikit resepi yang ringkas bagaimana hendak menyediakan umai jeb. Ini adalah resipi umai jeb yang biasa dihidangkan di hotel-hotel mahupun di kalangan masyarakat melanau itu sendiri. Anda berhak membuat sedikit perubahan mengikut citarasa sendiri.

Jenis-jenis ikan yang biasa atau selalu digunakan untuk membuat umai jeb ialah ikan yang tidak bertulang seperti Ikan Yu, Toman Laut, Tenggiri, Puyu Laut dan bawal. Ada juga yang menggunakan ikan bertulang seperti Ikan Pirang dan Ikan Popot.

Definisi ikan bertulang dan tidak bertulang ialah ikan bertulang merupakan ikan yang mempunyai banyak tulang halus di dalam isi selain tulang tengah. Manakala ikan tidak bertulang tidak bermakna ikan itu langsung tidak bertulang, Cuma ianya tidak mempunyai tulang-tulang halus di dalam isi, cuma ada tulang tengah atau tulang belakang.

Bahan-Bahan:

Bahagian A
1 Kg Ikan
1 biji Limau Nipis (dipotong dadu)

Bahagian B (Sambal)
½ Sudu makan Belacan (lebih atau kurang ikut kegemaran masing-masing)
4 Ulas bawang merah (dihiris nipis)
4 Ulas bawang putih (dihiris nipis)
1 Inci halia (dihiris nipis)
2 Biji cili besar (dipotong)
5 Biji cili padi
½ Cawan Kicap Manis ABC
1 Sudu The Garam dan Serbuk Perisa
10 Biji Limau Kasturi

Cara-Cara Membuatnya:

Bahagian A
  1. Bersihkan ikan, buang bahagian-bahagian yang tidak diperlukan. Belahkan ikan bermula dari bahagian ekor menggunakan pisau yang tajam. Pisahkan isi ikan daripada tulang tengahnya. Cuci dan jemur seketika isi ikan yang telah dibelah tadi.
  2. Hiris isi ikan tadi dengan menggunakan pisau yang tajam. Ketajaman pisau adalah sangat penting bagi mendapat hirisan ikan yang cantik dan rata.
  3. Letakkan hirisan isi ikan ke dalam bekas khas dan picitkan jus limau nipis ke atas isi ikan tersebut dan gaul. Fungsi jus limau adalah bagi membuang atau membunuh bakteria dan menggurangkan rasa hanyir ikan. Jangan letakkan terlalu banyak kerana ianya akan merosakkan rasa segar ikan tadi.
Bahagian B – Sambal Cicah.
  1. Masukkan hirisan bawang merah, bawang putih, halia, cili merah besar, cili padi, belacan dan kicap manis ke dalam pengisar makanan (blender). Kisar sehingga bahan-bahan tadi betul-betul halus dan sebati.
  2. Tuangkan bahan-bahan yang dikisarkan tadi ke dalam mangkuk dan picitkan jus limau kasturi ke dalamnya. Tuangkan garam dan serbuk perisa mengikut citarasa.
  3. Hidangkan bersama-sama dengan hirisan ikan yang telah siap tadi.

Umai Jeb sangat sedap dan sesuai dimakan bersama nasi panas, ulam-ulaman dan bebola sagu. Umai jeb juga sangat popular di Sarawak sehinggakan menjadi salah satu menu yang dihidangkan di majlis kenduri, di buffet hotel-hotel terkemuka di Sarawak, dan juga majlis keramaian kampung. Ianya hampir sama dengan hidangan Fresh Salmon iaitu yang sejenis makanan Sushi Jepun yang sangat digemari pada masa kini. 



Cuma bezanya Sushi dimakan dengan Wasabi dan Kicap. Umai Jeb dimakan dengan sambal cicah. Ini adalah menu asli masyarakat tempatan Sarawak khususnya Kaum Melanau yang boleh dipopularkan ke peringkat antarabangsa.    


 

No comments:

Post a Comment